APABILA SUAMI TERSINGGUNG…

| May 9, 2014 | 0 Comments

Screenshot_2014-05-09-08-22-58-1SAIDINA Umar RA berpesan, apabila rasa tersinggung, tak puas hati atau marah kepada isteri, kenanglah sekian banyak pengorbanannya kepada kita. Begitu bersusah payah dia mengandung dan melahirkan anak kita.Begitu bersungguh-sungguh dia menjaga makan minum kita, menguruskan segala hal ehwal rumah tangga. Terlalu banyak.

Rasanya kalau ada neraca yang boleh diguna untuk menimbang pengorbanan dan jasa isteri kepada rumah tangga, bahagian kita akan teroleng-oleng di atas. Tidak terlawan dan tidak terbanding. Itu belum lagi dikira dengan dosa dan salah silap kita kepadanya di luar rumah. Kenakalan sinonim dengan kebanyakan suami. Itu kenyataan. Pesanan Saidina Umar RA itu lebih seribu tahun dahulu.Pada zaman sekarang, hidup para isteri jauh lebih mencabar.

Kalau dahulu, tanggung jawab isteri mungkin hanya di rumah, menguruskan suami dan anak-anak. Tetapi sekarang, keadaan sudah sangat jauh berubah.Tuntutan hak kesamaan taraf dan peranan oleh wanita generasi terkemudian, walaupun berjaya membawa kesan positif kepada mereka di satu bahagian tetapi di satu bahagian yang lain pula, meskipun status sosial mereka dianggap meningkat, pada masa yang sama bebanan untuk mereka juga bertambah berat.

Berdasarkan peringatan Saidina Umar RA kepada suami-suami, jasa dan pengorbanan isteri pada zaman ini, lebih daripada itu lagi sepatutnya yang dikenang.Bukan setakat tugasan tradisi iaitu mengandung dan melahirkan anak, menjaga suami dan rumah tangga sahaja seperti dahulu malahan pula bagi isteri-isteri yang bekerja, mereka bahkan turut berkorban untuk top up belanja rumah malahan ada juga yang terpaksa top up poket suami.

Itu belum lagi dikira suami-suami yang jenis ambil kesempatan, apabila isteri bekerja, mereka berpegang pada satu ajaran sesat iaitu duit suami, hak suami, duit isteri pun hak suami.Alasannya, mereka yang beri izin isteri untuk bekerja. Betullah untuk maksud itu tetapi nafkah isteri dan nafkah untuk anak-anak, ke laut …

Sebut hal ini, walaupun sudah hendak masuk 20 tahun usia perkahwinan, saya sendiri sampai sekarang masih hairan, malah kadang kala jadi misteri bagi saya bagaimana orang perempuan (isteri) berbelanja.Gaji dia, tidaklah sebanyak saya tetapi kalau kira simpanan, banyaknya berganda-ganda berbanding saya. Belanja rumah, banyak juga dari bahagian dia.

Ini yang buat saya sering berasa hairan!Kerana itu, wanita (isteri saya) bagi saya adalah keajaiban dunia yang kelapan, sepanjang zaman!Saya teringat pula pesanan ahli psikologi perkahwinan. Katanya, kalau nak berasa insaf, untuk lebih terkesan mengenang pengorbanan isteri, renunglah wajahnya ketika dia sedang nyenyak tidur.Pada masa itu, nilaikanlah dengan sepenuh ikhlas, sepenuh rasa insaf akan jasa dan pengorbanan yang dia telah lakukan untuk diri kita. Dan pada masa yang sama juga, pancarkanlah terus dari mata hati, dari lubuk sanubari perasaan cinta dan kasih sayang yang sepenuhnya, hanya untuk dia.

Akhir kalam daripada saya, daripada pengalaman yang sudah banyak kali mencuba (untuk melakukan apa yang disaran oleh pakar psikologi perkahwinan ini), kita biasanya tidak akan sampai ke penghujung. Akan terhenti di pertengahan jalan.

Sebabnya?Ya, sebabnya mudah sahaja. Apabila pandangan dengan sepenuh perasaan itu kita layurkan, di seluruh wajah, mata, hidung, kening, turun ke bibir, ia pasti akan berhenti agak lama di bibir. Selepas itu, skrip drama pasti akan berubah. Selamat mencuba!

“SELAMAT HARI IBU” Buat semua ibu-ibu dan bakal ibu,sesungguhnya jasa pengorbananmu amatlah besar.

"TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG YANG MENGHIDUPKAN PERKONGSIAN INI"

Tags:

Category: Sosial

Leave a Reply